22 Murid Dikhuatiri Hilang Apabila Jambatan Gantung Runtuh
KAMPAR, 27 Okt (Bernama) -- Seramai 22 murid dikhuatiri hilang akibat dihanyutkan air deras apabila jambatan gantung yang mereka guna untuk menyeberang Sungai Kampar di Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang dekat sini runtuh pada kira-kira 10.30 malam tadi.Kira-kira 20 murid lain terselamat apabila sempat berpegang pada tali jambatan dan ada yang diselamatkan oleh seorang guru dan pengawal sekolah berkenaan, kata jurucakap polis.
Murid-murid terbabit adalah antara 298 murid dari 60 sekolah rendah dari Kampar, Tronoh dan Batu Gajah yang menyertai aktiviti kokurikulum Perkhemahan 1 Malaysia anjuran Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan.
Sehingga awal pagi, usaha mencari dan menyelamat oleh polis, bomba dan penyelamat, Rela dan orang ramai masih belum menemui murid-murid yang hilang.
Seramai 59 murid kini berada di Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang manakala sekumpulan lagi masih berada di tapak perkhemahan di seberang sungai berkenaan.
Ibu bapa murid berada di sekolah itu sejak tengah malam tadi untuk mendapatkan maklumat mengenai nasib anak mereka dan keadaan agak kelam kabut apabila beberapa ibu bapa tidak dapat menahan kemarahan apabila sehingga 3 pagi, tiada maklumat diterima sama ada anak mereka selamat atau tidak.
Nahas itu berlaku semasa sekumpulan peserta perkhemahan sedang menyeberangi jambatan berkenaan dari tapak perkhemahan untuk ke Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang bagi jamuan malam.
Seorang murid yang terselamat K. Mathivanan, 12, berkata kejadian itu berlaku secara tiba-tiba.
Katanya, ketika itu terdapat antara 30 hingga 50 murid di atas jambatan kerana ada yang hendak ke sekolah dan ada yang balik selepas jamuan.
Beliau berkata sebelum runtuh, jambatan berkenaan bergoyang kerana ada murid yang melompat dan bermain semasa berada di atasnya.
"Tiba-tiba kami tercampak ke dalam sungai dan saya sempat berpaut pada tali...air sungai sangat kuat tetapi saya dapat menarik badan untuk naik," katanya.
Jambatan sepanjang kira-kira 50 meter itu baru siap dibina dua minggu lepas bagi menggantikan sebuah jambatan gantung lama yang runtuh sebelum ini, kata seorang anggota Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.
Mathivanan berkata suasana seronok tiba-tiba menjadi keadaan kelam kabut dan ramai murid menjerit-jerit meminta tolong dan ada yang menangis.
Seorang guru Mohd Safri Abdul Rafar berkata beliau berada tidak jauh dari jambatan dan terkejut apabila terdengar bunyi benda jatuh diikuti oleh jerit pekik.
"Saya terus melompat pagar dan terjun ke dalam sungai, saya sempat membawa naik tiga atau empat murid...air sangat deras dan saya sendiri hampir lemas dan terpaksa naik ke tebing," katanya.
Safri berkata beliau kemudian turun semula dan sempat membawa naik lima lagi murid.
Pengawal sekolah berkenaan yang dikenali sebagai Idris sempat menyelamatkan enam murid, katanya.
Katanya beliau sedih dan terkilan kerana tidak sempat menyelamat seorang murid yang masih berpegang pada tali besi sebelum dihanyutkan air.
Perkhemahan itu bermula Selasa dan dijadualkan hingga Khamis dan pendaftaran peserta dibuat sejak 3 petang Isnin, kata guru SK Seri Tronoh itu.
Seramai 23 guru terlibat dengan perkhemahan itu dan kem yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang itu yang kedua dianjurkan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan selepas perkhemahan di SK Pos Raya minggu lepas.
Perkhemahan yang sama diadakan serentak pada Selasa di Daerah Larut, Matang dan Selama serta Daerah Manjung, katanya.
Murid yang menyertai perkhemahan itu daripada pelbagai bangsa sejajar dengan objektif perkhemahan untuk mereka berinteraksi dan melakukan aktiviti bersama-sama seperti memasak masakan tradisional, mengikuti latihan kebudayaan dan bermain pelbagai jenis permainan rakyat.
Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang melawat tempat kejadian tengah malam tadi telah mengarahkan siasatan segera dijalankan terhadap kejadian itu.
"Jambatan gantung ini baru siap...jelas jambatan ini runtuh apabila tiang besinya terbongkah...kita mahu tahu sama ada ia dibina mengikut spesifikasi atau tidak," katanya.
Tiang besi dan bongkah konkrit yang mengikat tali jambatan di tebing sebelah sekolah berkenaan tercabut dan tercampak kira-kira 10 meter manakala sebahagian lantai jambatan masih berada di permukaan sungai.
Sungai Kampar terkenal dengan kegiatan sukan air lasak dan lebar sungai berkenaan di kawasan kejadian adalah kira-kira 30 meter dan sedalam kira-kira 1.5 meter.
--BERNAMA
Sumber daripada BERNAMA.COM
Ilkhlas daripada nasaalmansoki (inni fana')
No comments:
Post a Comment